Thursday 28 March 2013

"Dari Sungai Pahang ke Sungai Nil Menongkah Arus Meneraju Menara Gading"


Assalamualaikum, and hi everyone...

Emm,, entry kali ni sepatutnya penulis menulis tentang kaedah penggunaan tulisan braille, tapi malangnya takdela malang sangat penulis terpaksa hold dulu penulisan tu, sebab penulis memerlukan masa yang agak lama untuk menulis kaedah braille tersebut, ye lah ilmu yang nak di share tu bukan boleh asal share je, asal bedal je, ianya perlukan pembacaan yang agak teliti teliti lah sangat kan si rahma ni, hihi

Ok lah, sebenarnya entri kali ni, penulis cuma nak berkongsi tentang seorang tokoh yang begitu terkenal tidak kira di peringkat antarabangsa, serantau, mahupun kebangsaan. Siapa beliau ye?? Ahaaaa, beliau ialah Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dari Disember 1999 hingga November 2009. Beliau merupakan salah seorang daripada pengasas penubuhan USIM, dan sumbangan beliau amat-amatlah besar, bukan sahaja di USIM, malah beliau juga menyumbangkan tenaga dan kepakaran beliau di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Kepakaran beliau telah diiktiraf oleh pelbagai jawatankuasa di pelbagai peringkat sama ada negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa. Misalannya, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia(MKI); Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji; Naib Pengerusi Akademi Fiqh Sedunia; dan banyak lagi. Hebat kan beliau?? 



Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin telah memainkan dan memberi sumbangan yang amat signifikan dalam penubuhan dan pembangunan USIM daripada fasa conceptualisation kepada fasa realisasi dan pemantapannya. Sumbangan beliau boleh diungkapkan sebagai dari 'tiada' kepada yang ada sekarang. Beliau berjaya menongkah arus terutamanya dari segi persepsi masyarakat terhadap pengajian Islam serta penerimaan pasaran terhadap siswazah berkelulusan dalam pengajian Islam. Kalau dulu, pelajar lulusan aliran kebangsaan mempunyai peluang dan pilihan yang luas untuk  meneruskan pengajian ke peringkat tinggi manakala peluang untuk pelajar-pelajar aliran agama adalah terhad. Namun, dengan penubuhan USIM, pelajar lulusan aliran agama (sastera dan sains) mempunyai peluang yang lebih luas untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Beliau kerap menyebut kita menekankan kepada pembentukan insan. Memang benar mereka mempunyai ilmu. Tetapi insan itu menentukan atau memilih sama ada ilmu itu digunakan secara bermanfaat atau tidak. Keunikan pendekatan USIM dalam membangunkan potensi manusia hendaklah dilakukan secara holistik. Hakikatnya penciptaan manusia mempunyai dua unsur iaitu unsur rohani dan unsur jasmani. Kedua-duanya perlu dibangunkan secara seimbang dan bersifat integrasi. Dengan itu, insan diyakini akan menggunakan ilmu selaras dengan kehendak Islam.

Beliau berkata "Selama ini, apabila kita bercakap tentang pendidikan Islam, masyarakat memahaminya sebagai mata pelajaran seperti Syariah, Fiqh, Usuluddin dan sebagainya. Masyarakat cepat untuk melabel sesuatu sebagai Islamik dan yang lain tidak Islamik". Tetapi jika kita menyingkap zaman kegemilangan Islam dan sumber sebenar ajaran Islam iaitu Al-Quran dan Hadis, kita dapati pendidikan Islam mencakup semua bidang pelajaran. Menurut beliau juga, menurut perspektif Islam, ilmu terdiri daripada dua cabang iaitu fardu 'ain dan fardu kifayah. Mengkaji dan menuntut kedua-dua cabang ini adalah perlu. Fardu 'ain adalah ilmu yang diperlukan untuk mengukuhkan hubungan kita dengan Allah SWT. Ini termasuk ilmu tentang solat, puasa, haji, dan ibadah fardu yang lain. Fardu kifayah pula termasuk ilmu pengetahuan tentang perubatan, sains dan teknologi dan sebagainya. Pokoknya kita mesti mencari ilmu yang diperlukan untuk kehidupan seharian. (Wawancara bersama beliau dalam Prospect Malaysia Issue)

Beliau telah memulakan kerjayanya sebagai seorang guru sandaran di Sekolah Menengah Tinggi Agama Pekan, Pahang dan kemudiannya sebagai penolong pensyarah di Fakulti Pengajian Islam, UKM pada tahun 1974. Tiga tahun kemudian, beliau dinaikkan pangkat sebagai pensyarah. Pada tahun 1981, beliau telah menggenggam jawatan sebagai Profesor Madya. Kemudian, beliau telah dilantik sebagai Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1985-1987 dan 1992-1998.  Beliau dinaikkan ke jawatan Profesor penuh di Fakulti Pengajian Islam pada tahun 1993. Pada 1 Disember 1999, beliau diamanahkan untuk menerajui sebuah universiti baru yang dikenali sekarang sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai Naib Canselor pertama.  Peluang ini amat berharga kerana cita-cita beliau yang sangat mendalam untuk membangun sebuah pusat pengajian tinggi moden yang berteraskan Pengajian Islam, menggabungkan antara ilmu aqli dan naqli, kemahiran teori dan amali, serta mahasiswanya mampu berkomunikasi dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris disamping bahasa kebangsaan.  Selama 10 tahun beliau menerajui USIM, hasratnya untuk melahirkan satu pusat pengajian yang berpendidikan bersepadu telah terserlah dengan penubuhan lapan fakulti, dua institut dan tiga pusat termasuk pusat tamhidi.  Di antara Fakulti-fakulti yang telah ditubuhkan ialah termasuk Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah. Kesemua Fakulti ini adalah menggunakan pendekatan bersepadu. Sumbangan beliau yang bernilai dalam bidang akademik  dan bukan akademik telah mendapat pengiktirafan  negara di mana pada tahun 1993, beliau dianugerahkan pingat Darjah Indera Mahkota  Pahang  (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.  Pada tahun 1995, beliau dianugerahkan pingat Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Yang di-Pertuan Agong. Pada Tahun 2006, beliau dikurniakan Darjah Setia Negeri Sembilan (DSNS) yang membawa gelaran Dato’ dan pada bulan Jun 2010 baru-baru ini sempena hari keputeraan DYM Yang di-Pertuan Agong, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri.  Sumbangan beliau dalam bidang pendidikan negara amat bernilai dan telah mendapat pengiktirafan tertinggi dari UKM dengan penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Islam semasa Majlis Konvokesyen ke-38 Universiti tersebut pada 4 Ogos 2010. Khidmat beliau yang tidak pernah mengenal erti penat serta komitmen yang tinggi terhadap kecemerlangan USIM juga telah mendapat pengiktirafan dengan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus pada Majlis Konvokesyen ke-8 USIM pada 25 September 2010.



Rasanya setakat ni dulu coretan penulis. Tangan dah lenguh menaip. huhu...Walau bagaimanapun, ribuan terima kasih diucapkan kepada penerbit buku "Dari Sungai Pahang ke Sungai Nil Menongkah Arus Meneraju Menara Gading" kerana buku ini telah memberi informasi yang sangat lengkap tentang ketokohan Profesor Emeritus Tan Sri Dato' Dr. Haji Abdul Shukor bin Haji Husin.

Setelah aku membaca buku ini, baru ku tahu tingginya nilai ilmu itu. Ingin sekali aku ikuti jejak langkah beliau, kerana aku tahu ilmu itu sesuatu yang sangat bernilai yang tidak boleh diwarisi mahupun dibeli. Tambahan pula ilmu yang dimanfaatkan itu tidak terputus amalannya serta kekal pahalanya meskipun kita sudah tiada di alam yang fana ini. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.


Sekian.


No comments:

Post a Comment